Sugar Bomb Perfume

Kongsi Cerita: “Cancer Lymphoma Survivor” – Adilah

Kongsi Cerita: “Cancer Lymphoma Survivor” – Adilah

Mengetahui diri menghidapi kanser pada usia muda bukan satu perkara yang mudah untuk diterima, tambahan pula diri tinggal sebatang kara tanpa ibu dan ayah. Bagi tuan empunya diri, Siti Adilah Binti Abdullah, 21, pertama kali diberitahu terpaksa hidup dengan kanser limfoma pada April 2018, ia adalah berita yang terlalu perit untuk ditelan bersendirian. Namun, anak jati dari Kedah ini tabah menguatkan diri untuk menerima kenyataan walaupun ia sukar.

 

“Dalam fikiran ketika itu hanya memikirkan dugaan orang lain yang lebih berat, ada yang tak ada duit untuk rawatan.

Alhamdulillah setakat ini Adilah okay,” katanya.

 

Menurut pelajar Diploma Perbankan, Universiti Awam itu, dia terpaksa menangguhkan pengajiannya sehingga kini disebabkan penyakit yang dihadapinya itu. Menceritakan balik pengalaman sebelum disahkan menghidapi kanser limfoma, Adilah berkata, semuanya bermula apabila dirinya demam, batuk dan kemudian bengkak pada bahagian leher. Ujarnya, dia juga kerap berpeluh terutamanya ketika waktu malam.

 

“Lepas itu buat keputusan untuk ke klinik. Selepas makan ubat beberapa hari masih tidak berubah dan kemudian

dirujuk ke Hospital Sultanah Bahiyah,” katanya.

 

 

 

Selepas dua minggu, Adilah terpaksa menerima kenyataan dirinya ada kanser limfoma. Kisah dirinya itu turut dikongsi di media sosial bagi memberi dorongan kepada pesakit lain yang senasib dengannya. Rata-rata pengikut akaun media sosialnya memberi kata-kata semangat dan memuji perkongsian mengenai penyakit yang dihadapi.

Menurut Adilah adik-adik, atuk dan neneknya merupakan sumber kekuatan untuk terus kuat melawan penyakit yang dihadapinya.

 

“Fikir family, adik, memang nak sihat untuk diri sendiri juga, kalau kita tak lawan siapa nak lawan untuk kita. Kena kuat sebab nak habiskan belajar,

nak kerja dan ada kehidupan macam orang lain juga”.

 

Kini Adilah dalam proses pemulihan selepas melakukan rawatan sel sistem yang diterima daripada adik bongsunya. Mengikut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) juga, kanser merupakan penyebab kematian kedua tertinggi di dunia dengan kira-kira satu daripada setiap enam kematian yang berlaku disebabkan penyakit tersebut.

Dianggarkan 30 hingga 50 peratus kanser boleh dicegah dengan amalan gaya hidup sihat.